Friday 27 February 2015

Sekolah Saya

         
                                                            SEKOLAH SAYA



       SMK Sultanah Asma merupakan sebuah sekolah harian yang berprestij di negeri Kedah Darul Aman dan di negara ini.  SMK Sultanah Asma dahulunya dikenali sebagai Sekolah Perempuan Kampong Bahru atau Kampong Bahru Girls’ School merupakan Sekolah Inggeris Perempuan yang pertama di Kedah telah dibuka pada bulan Mac 1922. SMK Sultanah Asma mengambil sempena nama Tunku Ampuan Asma Ibni Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, Sultanah Kedah.

        Bangunan sekolah ini pada mulanya bukanlah sebuah sekolah tetapi sebuah istana milik Cik Sepachendera, permaisuri pertama Almarhum Sultan Abdul Hamid, Sultan Kedah ke-21.  Pada tahun 1922, Kerajaan negeri Kedah telah membeli bangunan istana itu dengan tujuan menggunakan bangunan istana itu sebagai sebuah sekolah.  Kampong Bahru Girls’ School  telah diasaskan oleh YTM Tunku Ibrahim (Tunku Sulong) Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid, Tuan Syed Muhammad Idid, Tuan E.A.G Steward (Penguasa Pelajaran Kedah) dan Encik Ismail bin Puteh.  
       Peletakan batu asas tapak bangunan sekolah kini yang terletak di Jalan Langgar, Alor Setar, Kedah disempurnakan oleh Tunku Ampuan Asma Ibni Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, Sultanah Kedah.  Pembinaan bangunan siap sepenuhnya pada tahun 1956.  Bangunan ini dirasmikan oleh KDYMM Tuanku Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah, Tuanku Sultan Kedah pada 21 Julai 1957. SMK Sultanah Asma merupakan sekolah bantuan Inggeris yang pertama di Persekutuan Tanah Melayu dan tertua di negara ini. Tujuan asal penubuhan sekolah ini ialah untuk memberikan pendidikan kepada anak-anak perempuan kerabat diraja dan anak-anak perempuan pegawai tinggi kerajaan. Mulai pada tahun 1945 barulah sekolah ini dibuka kepada umum dan mula mengambil pelajar daripada pelbagai bangsa. 
       Sekolah ini telah diiktiraf sebagai Sekolah Premier Negeri Kedah Darul Aman oleh Jabatan Pelajaran Kedah mulai tahun 1998 dan dinaikkan statusnya sebagai Sekolah Elit Negeri Kedah pada tahun 2000.  Pada tahun 2007, SMKSA diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran Malaysia.  Pada 27 Januari 2010 SMK Sultanah Asma telah diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi kohort pertama dan membuktikan bahawa sekolah harian ini berjaya melonjakkan kecemerlangan dan meletakkan sekolah ini dalam senarai sekolah berprestij di negara ini.  Sekolah ini terus unggul mencipta nama dalam semua bidang sama ada kurikulum dan kokurikulum pada peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa.
       SMK Sultanah Asma merupakan sebuah sekolah yang unggul dan terkenal di negara ini selari dengan motonya iaitu ”Unggul dan Terbilang”.  Sejak ditubuhkan hingga kini, sekolah ini terus mengukir nama hingga ke persada dunia kerana berjaya melonjakkan kecemerlangan dalam semua bidang pendidikan.  
       Prestasi akademik yang dicapai oleh sekolah ini dalam peperiksaan awam saban tahun setanding dan berjaya pula mengatasi pencapaian sekolah berasrama penuh di negara ini terus menyerlahkan keunggulan sekolah berprestij ini.  Sekolah ini telah muncul sebagai sekolah harian terbaik peringkat nasional dalam keputusan peperiksaan SPM pada tahun 2002 dan terus mengekalkan prestasi dalam senarai sekolah cemerlang peringkat kebangsaan dalam keputusan peperiksaan SPM.  SMK Sultanah Asma juga merupakan salah sebuah sekolah yang tersenarai sebagai sekolah yang berjaya mengekalkan pencapaian cemerlang peringkat nasional dalam peperiksaan PMR sejak tahun 2000 - 2009.   
       Dalam bidang kokurikulum SMK Sultanah Asma terus mencipta nama di arena antarabangsa apabila bidang kebitaraannya iaitu pasukan pancaragam yang ditubuhkan pada tahun 1970 telah berjaya menggondol beberapa kejayaan besar.  Pada tahun 2000 pasukan ini mendapat naib johan sempena Pesta flora dan naib johan peringkat kebangsaan. Pada tahun 2004 pasukan ini telah menjadi johan keseluruhan Festival Muzik Antarabangsa Giulianova, Itali (Giulianova 2004 V Festival International Bande Musicali). Pasukan Pancaragam SMK Sulatanah Asma telah menjadi johan Pertandingan Pancaragam Sekolah-sekolah Menengah peringkat kebangsaan pada tahun 1999, 2003, 2007 dan 2009. Pasukan ini juga telah mengambil bahagian dalam pertandingan  ‘Kuala Lumpur World Marching Band 2007’dan 2008 dan menjadi johan kategori pancaragam tempatan dan naib johan keseluruhan dalam pertandingan tersebut. 
       Selari dengan visi sekolah ini iaitu ”Melestarikan Keunggulan ke Taraf Dunia” pasukan  pancaragam SMK Sultanah Asma telah mengadakan persembahan di ‘Shanghai Spring International Music Festival’ pada 27 April hingga 04 Mei 2008.  Pasukan ini juga telah menganjurkan konsert bersama-sama dan bengkel pemantapan persembahan ‘Wind Orchestra’ dengan Singapore Chinese Girl School dan Nakamura Gakuen Girls School, Japan, pada tahun 2007 dan 2008. Pada tahun 2009 sekali lagi  pasukan ini berjaya mencapai kejayaan cemerlang setelah menjadi juara tiga kali berturut-turut pada peringkat kebangsaan dalam pertandingan pancaragam peringkat kebangsaan,  Kuala Lumpur World Marching Band ( KLWMBC) dan Malaysia World Band Competition (MWBC).
       Pasukan pancaragam ini aktif pada peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Pasukan ini sering diundang untuk mengadakan persembahan dalam majlis rasmi kerajaan, jabatan-jabatan kerajaan, badan berkanun dan swasta serta undangan ke festival muzik antarabangsa.  Sebagai sekolah SBT warga sekolah ini terus mengadakan pelbagai jaringan dan jalinan yang aktif dengan pihak lain sama ada di dalam negeri ini dan di luar negara.
       Pelajar SMK Sultanah Asma sentiasa aktif dan berjaya menggarap berbagai-bagai kejayaan dalam kokurikulum. Antaranya ialah Johan Keseluruhan Pertandingan Puisi dan Lagu Peringkat Kebangsaan dan Anugerah Puisi Terbaik 2009. Pelajar sekolah ini juga telah menjuarai Pertandingan Klip Video ”Kami Anak Malaysia” 2009.  Hasil kejayaan cemerlang dalam kokurikulum telah menyebabkan SMK Sultanah Asma menerima pengiktirafan tinggi iaitu Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum peringkat kebangsaan tahun 2008 dan sekali lagi pada tahun 2010.  
      Sesungguhnya, sebagai SBT dan sekolah yang berprestij di negara ini, seluruh warga SMK Sultanah Asma akan terus beriltizam dan memberikan komitmen padu untuk  ”Melestarikan Keunggulan ke Taraf Dunia” bagi menjayakan NKRA dan visi pendidikan negara.